TEMBURONG, ISNIN, 6 JULAI 2026 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah menjalankan operasi pemantauan dan pencegahan jenayah di kawasan Kampung Labu, Daerah Temburong.

Semasa operasi berkenaan, pihak polis telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan mencuba memberhentikannya. Kenderaan berkenaan enggan berhenti namun berjaya ditahan di Kawasan Perindustrian Salambigar. Pemandunya bagaimanapun telah melarikan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan beberapa kotak plastik yang dipercayai mengandungi barang-barang tegahan, iaitu sebanyak 120 botol dan 600 tin minuman keras pelbagai jenama. Kesemua barang bukti telah dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan serta siasatan lanjut.

PPDB akan terus memperkukuhkan usaha penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan kesalahan berkaitan barang-barang tegahan. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang negara. Orang ramai juga diseru untuk terus bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI