Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menafikan penghantaran mesej ringkas (SMS) yang kini tular yang mendakwa daripada pihak polis dan menuntut orang ramai membuat pembayaran berhubung kesalahan trafik.

PPDB ingin menegaskan bahawa mesej tersebut adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak dalam PPDB. Mesej sedemikian dikategorikan sebagai satu bentuk penipuan dalam talian yang bertujuan memperdaya orang ramai serta memperoleh maklumat peribadi atau wang secara tidak sah.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengklik sebarang pautan yang dikongsikan dalam mesej tersebut sebagai langkah berjaga-jaga. Mengklik pautan yang tidak sahih boleh mendedahkan telefon bimbit/peranti dan maklumat peribadi kepada risiko penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

PPDB turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, tidak berkongsi maklumat peribadi, dan membuat pengesahan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berhubung sebarang mesej yang meragukan.

Orang ramai yang menerima mesej dan membuat pembayaran untuk menghubungi talian kecemasan 993 atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Talian Bantuan Anti-Penipuan (Anti Scam Helpline) 16993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI