BRUNEI MUARA, Selasa 16 Nov 2021 – Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama kolaborasi daripada keanggotaan detektif daripada Balai Polis Berakas dan Sengkurong telah berhasil menahan tiga (3) orang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan curi bersiri yang berlaku di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara.
Penahanan ke atas suspek-suspek berkenaan telah membawa kepada penemuan barang-barang bukti hasil daripada kegiatan jenayah curi yang dilakukan. Di samping itu juga, sebanyak 17 kertas penyiasatan telah dikenal pasti dipercayai mempunyai keterlibatan kegiatan suspek yang dilaporkan di balai-balai polis sebelum ini.
Penahanan ini juga berpunca daripada maklumat yang diperolehi daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada kejadian curi yang berlaku di kawasan Jalan Lambak Kiri, Pasir Berakas pada 4 November 2021 yang lalu.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379, 454 dan 457 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa kepada hukuman pemenjaraan dan juga hukuman sebat.
Sehubungan dengan itu, PPDB ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan orang ramai kepada pihak polis dalam mengongsikan serta menyalurkan maklumat-maklumat penting dan bernilai berkaitan dengan kegiatan-kegiatan jenayah.
Dengan kerjasama ini akan seterusnya membantu dan melancarkan lagi penyiasatan kes sehingga penjenayah-penjenayah dihadapkan ke muka pengadilan bagi pendakwaan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
