BELAIT, Jumaat 12 Nov 2021 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil menumpaskan kegiatan kes curi dan pecah rumah bersiri melibatkan 7 orang suspek warga tempatan dan penduduk tetap.
Kesemua tangkapan tersebut adalah hasil strategi pemantauan dan kolaborasi daripada keanggotaan Daerah Polis Belait dan balai-balai di bawahnya.
Suspek-supek tersebut melibatkan 6 orang lelaki dan seorang perempuan yang berumur dalam lingkungan 17 sehingga 42 tahun.
Dengan tertangkapnya 7 orang suspek berkenaan, PPDB telah berjaya menyelesaikan 5 kertas penyiasatan yang telah dilaporkan berlaku di kawasan rumah-rumah kediaman di RPN Teres Lumut dan Lumut, Sg Liang.
Di samping itu, turut ditemui juga beberapa barangan rampasan seperti barangan elektronik, barangan kenderaan, mesin pemotong kayu, mesin waterjet dan lain-lain lagi.
Kesemua suspek kemudian segera menjalani ujian saringan (swab test) COVID-19 dengan berkeputusan negatif. Walau bagaimanapun, 2 daripada suspek berkenaan diteruskan menjalani siasatan manakala 5 suspek yang lain dihantar ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani kuarantin selama 2 minggu sebelum siasatan lanjut diteruskan kerana tidak ada memiliki aplikasi Bruhealth.
PPDB akan sentiasa berusaha dalam menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah-penjenayah yang berhasrat untuk mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan di Negara Brunei Darussalam.
Sokongan masyarakat adalah diharapkan agar sentiasa berterusan memberikan kerjasama dalam kepercayaan serta perkongsian maklumat bagi memastikan negara ini bebas daripada segala bentuk aktiviti negatif dan gejala-gejala jenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
