TEMBURONG, Jumaat 12 Nov 2021 – Sebuah kenderaan van telah ditemui ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan bekas ladang ternakan itik Kg Puni Daerah Temburong. 

Adapun penemuan tersebut adalah hasil daripada perkongsian maklumat yang disalurkan oleh orang awam kepada pihak polis. Sejurus maklumat diterima, keanggotaan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera ke tempat kejadian dan mengesahkan mengenai penemuan tersebut. 

Pegawai penyiasat balai segera diaktifkan sejurus mengetahui akan penemuan bungkusan kotak-kotak yang mencurigakan tersimpan didalam kenderaan van berkenaan. 

Di samping itu juga turut ditemukan sejumlah bungkusan kotak besar yang diletakkan di kawasan bekas pondok ladang ternakan berdekatan dengan penemuan van tersebut. 

Hasil daripada pemeriksaan telah mendapati terdapat 32 kotak bungkusan besar tersimpan dalam van manakala sebanyak 12 kotak ditemukan di dalam kawasan bekas pondok yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak 2240 katon rokok. 

Penemuan barang tegahan rokok itu dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan siasatan awal dan untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI