BRUNEI MUARA, Rabu 3 Nov 2021 – Pada hari ini, genap 30 hari Operasi Pulih dilaksanakan sejak ianya berkuatkuasa pada 4 Oktober 2021 yang lalu. Di sepanjang tempoh operasi yang dijalankan sehingga setakat ini sejumlah 592 pelanggaran kesalahan telah didapati dan telahpun diambil tindakan denda kompaun yang meliputi kegagalan ke atas pematuhan arahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 seperti melanggar perintah dan arahan bertahan di kediaman masing-masing diikuti dengan tidak memakai sungkup muka dan juga kesalahan kerana tidak ada mempunyai aplikasi Bruhealth. 

Tuntasnya, pelbagai daya usaha mencakupi aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah dan sering ‘diuwar-uwarkan’ pihak kerajaan kepada masyarakat awam melalui pelbagai medium-medium komunikasi akan tetapi masih ada lagi yang didapati tidak mematuhi SOP tersebut dan melanggarnya. 

Penekanan terhadap perlaksanaan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 seperti Operasi Pulih ini merupakan salah satu hasrat kerajaan bagi mencapai noktah kejayaan membawa keluar negara daripada fenomena pandemik yang mencabar ini. 

Walaupun demikian, matlamat ini tidak hanya berpaut daripada hasil usaha dan percaturan strategi pihak kerajaan semata-mata. Malah, ianya juga sangat bergantung kepada kerjasama padu masyarakat awam dalam aspek pematuhan dan keakuran di setiap arahan dan perintah yang dikeluarkan dalam tindakan pembendungan dan pengawalan penularan wabak secara total. 

Semalam, Operasi Pulih yang dijalankan pada 2 November 2021 bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sebanyak 6 pelanggaran kesalahan ditemukan merangkumi seluruh daerah. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

5 kesalahan di Daerah Brunei Muara 

 1 kesalahan di Daerah Belait 

Faktor persekitaran sosial seperti keluarga, sahabat handai serta media massa bertindak selaku agen sosialisasi dalam mempengaruhi dan mendidik tingkah laku seseorang. Justeru, dalam konteks pencegahan COVID-19, agen-agen ini adalah bertanggungjawab dalam membantu membentuk sikap positif dalam memberigakan pengetahuan terhadap wabak ini dan faham akan kesan dan implikasi jangkitan terhadap diri sendiri dan juga orang lain.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI