BRUNEI MUARA, Ahad 31 Okt 2021 – Matlamat yang jitu pihak kerajaan beserta perancangan pemerkasaan yang mampan akan membawa negara ini keluar daripada cengkaman pandemik COVID-19 kepada fasa endemik melalui Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19. 

Hakikatnya, usaha sama semua lapisan masyarakat di negara ini dalam kerjasama, tanggungjawab, prihatin dan bersikap pemedulian akan menjadi kunci penentu kepada keberhasilan dan pencapaian sebenar kerajaan. 

Masyarakat awam juga akan menyaksikan wabak ini akan diterima menjadi sebahagian kehidupan masa kini, tetapi perlu bertindak bijak dan sentiasa berdisiplin dalam menerapkan protokol kesihatan dan keselamatan dalam menjayakan apa jua strategi pihak kerajaan dalam memulihkan sistem negara. 

Oleh itu, bantuan pihak penguatkuasaan dalam pematuhan undang-undang akan dijulang sepenuhnya oleh kolaborasi daripada agensi-agensi penguatkuasa kementerian yang dipimpin oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam sama-sama membantu negara dalam tugasan pemantauan, pengawalan dan juga keselamatan. 

Melalui Operasi Pulih yang memasuki hari ke 27 semalam, 30 Oktober 2021 bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi telah berhasil mencatatkan sejumlah 14 kesalahan yang melibatkan pelanggaran di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

14 kesalahan di Daerah Brunei Muara

Rakyat dan penduduk negara perlu akur terhadap pematuhan SOP yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan. Terdapat kemungkinan ia tidak akan berlarutan selama-lamanya dan realiti tersebut mungkin dapat dicapai lebih awal dengan kerjasama padu semua pihak. Semangat perpaduan yang ditunjukkan adalah sesuatu yang mulia dan perlu berlarutan bagi membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI