BRUNEI MUARA, Sabtu 30 Okt 2021 – Kebimbangan terhadap risiko penularan pandemik COVID-19 tidak pernah luntur daripada perhatian pihak kerajaan. Penerapan terhadap langkah-langkah pembendungannya seperti perlaksanaan Operasi Pulih yang menumpukan terhadap pengurangan pergerakan orang awam adalah sangat memberi kesan dalam mencapai hasrat dan sasaran kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan sistem negara secara inklusif, mampan lagi menyeluruh. 

Melalui Operasi Pulih ini juga memberi impak kepada pembentukan masyarakat yang berdisiplin terhadap peraturan yang ditetapkan malah wajar mendapat pujian kerana sikap pematuhan serta pengendalian perancangan masa yang terarah sebelum operasi bermula. 

Namun demikian, ketidakpatuhan akan prosedur operasi standard (SOP) masih lagi didapati daripada sebilangan kecil masyarakat awam yang turut mengemukakan alasan-alasan yang tidak berasas dan munasabah semasa operasi dilaksanakan. 

Kearah itu, tindakan denda kompaun segera dikeluarkan tanpa sebarang kompromi kepada para pelanggar arahan dan turut diselitkan ialah teguran dan nasihat agar perkara ini menjadi pengajaran dan tidak akan berulang lagi. 

Berikutan daripada Operasi yang dijalankan semalam, 29 Oktober 2021 yang bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sebanyak 22 pelanggaran kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan telahpun diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

7 kesalahan di Daerah Brunei Muara

13 kesalahan di Daerah Belait

2 kesalahan di Daerah Tutong

Perubahan yang diheret oleh wabak pandemik COVID-19 ini telah melahirkan kebiasaan dan gagasan baharu dalam kehidupan sejagat. Justeru, masyarakat awam hendaklah bersikap responsif dan menerimanya secara terbuka dalam menjalani norma baharu pasca pandemik COVID-19.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI