BRUNEI MUARA, Jumaat 29 Okt 2021 – Tindakan dan tingkah laku kesihatan seperti pemakaian sungkup muka, menjaga penjarakan sosial dan kekerapan mencuci tangan merupakan saranan yang utama pihak kerajaan dalam membantu memutuskan rantaian wabak COVID-19. Ianya juga berdampak luas, dalam peralihan yang ketara meliputi aspek kesejahteraan kehidupan yang lancar dan lebih baik dalam menghadapi norma baharu pasca COVID-19 di tahun yang mendatang.
Masyarakat awam juga perlu akur terhadap pematuhan arahan yang kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan yang mutakhir. Namun, ianya juga mungkin tidak akan berlarutan selamanya jika perpaduan dan kerjasama padu semua lapisan masyarakat digarap secara lengkap dan menyeluruh agar usaha negara menuju ke fasa pemulihan dicapai dengan lebih awal dan cepat.
Penguatkuasaan dan perlaksanaan terhadap langkah-langkah pengawalan menerusi Operasi Pulih ini juga turut memberikan kesan dan impak yang positif terhadap pengurangan penularan wabak berkenaan. Semalam, hasil daripada operasi pulih yang dijalankan pada 28 Oktober 2021 bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sebanyak 12 pelanggaran akta didapati dan telahpun diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
8 kesalahan di Daerah Brunei Muara
4 kesalahan di Daerah Belait
Agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat menerusi perlaksanaan operasi pulih akan sentiasa berusaha melaksanakan tugasan secara menyeluruh merangkumi langkah menambah baik kewaspadaan, menjalankan langkah-langkah pengawalan dan keselamatan, mempertingkatkan ketenteraman awam, menguatkuasakan kawalan sempadan ke arah membantu negara dalam pengawalan risiko penularan jangkitan virus dan memulihkan kehidupan kepada normal pasca pandemik ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
