BRUNEI MUARA, Khamis 28 Okt 2021 – Ledakan teknologi dan media sosial antara medium utama yang digunakan secara meluas ketika ini dalam hasrat negara untuk memberigakan lagi penyebaran maklumat berkaitan wabak pandemik COVID-19.
Inisiatif dan ketelusan maklumat berhubung program kesedaran berkaitan wabak ini sentiasa berkumandang di rangkaian penyiaran, rangkaian internet serta pelbagai teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) agar masyarakat awam lebih cakna dengan isu-isu semasa dan terkini bagi membantu penduduk negara mendapat faedah yang baik dan berguna dalam kehidupan seharian menghadapi pandemik ini.
Perkongsian maklumat juga termasuk perlaksanaan Operasi Pulih serta perkembangannya secara harian dalam usaha untuk mendidik dan menghadirkan kefahaman dan kepatuhan di kalangan rakyat negara ini tentang pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sebarang arahan yang dikeluarkan oleh Pihak Kerajaan di sepanjang tempoh operasi dijalankan.
Hasil daripada tindakan Operasi Pulih yang dijalankan oleh pihak penguatkuasa, bagi hari ke 24 iaitu 27 Oktober 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sejumlah 10 tindakan denda kompaun telah dikeluarkan.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ;
8 kesalahan di Daerah Brunei Muara
2 kesalahan di Daerah Belait
Oleh itu, dalam memastikan pihak kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun berdepan dengan pandemik ini, masyarakat awam juga turut mengambil peranan yang aktif dalam bersatu tenaga menamatkan kerakusan penularan virus COVID-19. Wabak ini bukan sahaja mengancam keseluruhan aktiviti harian bahkan merangkumi kemerosotan tahap kesihatan, kualiti kehidupan, kestabilan sosial serta ekonomi negara secara keseluruhan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
