BRUNEI MUARA, Khamis 28 Okt 2021 – Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengesahkan berlakunya satu kejadian kemalangan jalan raya yang telah meragut nyawa seorang wanita semalam.
Kejadian tersebut telah dilaporkan melalui talian kecemasan 993 pada 27 Oktober 2021 jam 7.12 malam yang berlaku di kawasan KM 107, Lebuhraya Muara Tutong menghala ke Lebuhraya Muara.
Pegawai Penyiasat yang bertugas segera ke tempat kejadian dan mendapati mangsa yang maut masih tersekat di dalam kenderaan berkenaan dipercayai akibat daripada impak rempuhan melibatkan 6 keping pagar besi dan 5 batang tiang lampu jalanraya.
Turut hadir semasa kejadian tersebut adalah keanggotaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya. Sejurus selepas itu, mangsa yang maut segera dikejarkan ke Hospital RIPAS dengan bantuan pihak ambulans dan telah disahkan meninggal oleh doktor petugas.
Hasil siasatan Pihak Polis mendapati, mangsa yang maut (pemandu) merupakan seorang wanita warganegara asing berumur 37 tahun dan dalam perjalanan berseorangan menuju ke kawasan Muara. Walau bagaimanapun, Pihak Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kematian.
Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama pengguna-pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan bertolak ansur lebih-lebih lagi memandu sewaktu di malam hari.
Jangan memandu dalam keadaan dipengaruhi dengan ubat-ubatan atau pengaruh alkohol atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh sahaja mengakibatkan kemalangan berlaku.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
