BRUNEI MUARA, Khamis 21 Okt 2021 – Seorang individu berjaya ditahan kerana didapati membawa masuk barangan tegahan hasil daripada Operasi Rondaan TaskForce COVID-19 di kawasan kebun Kg Junjongan Mukim Pengkalan Batu, Daerah Brunei Muara.

Kejadian berlaku pada waktu malam 21 Oktober 2021 menerusi usaha kerjasama di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah menemukan beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai barangan tegahan. 

Penemuan bungkusan yang dipercayai minuman keras itu dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan dan hasil pemeriksaan telah mengesahkan barang tegahan adalah berjumlah 452 botol minuman keras pelbagai jenama. Suspek merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 29 tahun. 

Suspek kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani kuarantin selama 2 minggu dan kes penyiasatan bersama barang rampasan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

PPDB memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan serta mengongsikan apa jua maklumat berkaitan aktiviti yang melanggar peruntukan perundangan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI