TEMBURONG, Selasa 19 Okt 2021 – Dengan maklumat risikan dan pemantauan yang semakin dipergiatkan telah banyak membantu Pihak Polis dalam pengesanan para penjenayah yang sering menggunakan jalan-jalan tikus sebagai batu loncatan untuk membawa masuk barang-barang tegahan ke negara ini.
Ini terbukti dengan penahanan seorang individu lelaki penduduk tetap berumur 29 tahun di kawasan Kg Semamang, Jalan Batang Duri Daerah Temburong oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana didapati membawa bersamanya barang tegahan berupa minuman keras.
Kejadian yang berlaku pada 18 Oktober 2021 sekitar jam 1.35 petang tersebut adalah hasil pemantauan rapi Pihak Polis terhadap kenderaan-kenderaan yang didapati mencurigakan dan mempunyai potensi ada keterlibatan dalam perilaku jenayah.
Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sebanyak 12 botol minuman keras, 12 batang rokok dan juga penemuan paket plastik bersama peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) dihubungi bagi tindakan dan siasatan.
Suspek kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan, Berakas bagi menjalani kuarantin selama 2 minggu sebelum penyiasatan kes diteruskan selanjutnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
