TEMBURONG, Ahad 17 Okt 2021 – Seorang lelaki warganegara tempatan berumur 41 tahun ditahan bagi pemeriksaan Pihak Polis kerana didapati telah memandu keluar dalam keadaan laju dan mencurigakan dari kawasan Kg Ujung Jalan, Daerah Temburong.
Penahanan berhasil dijalankan melalui sekatan jalanraya mengejut yang dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Jalan Labu yang berlaku pada 16 Oktober 2021 sekitar jam 2.30 petang.
Melalui pemeriksaan awal dijalankan telah mendapati beberapa bungkusan kotak yang mencurigakan tersimpan di bahagian tempat duduk belakang penumpang dan bonet bahagian belakang. Pemandu serta kenderaan segera dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal.
Hasil daripada pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan pemandu (suspek) telah menemukan sebanyak 48 botol minuman keras daripada bungkusan kotak dan turut ditemukan 9 paket rokok yang disimpan di bahagian bawah kerusi pemandu.
Suspek kemudiannya di bawa ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani kuarantin selama 2 minggu dan kes penyiasatan bersama barang rampasan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.
Dalam hal ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa meningkatkan keupayaan dalam memperkasa usaha kerajaan untuk sama-sama menangani isu-isu berkaitan yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
