BRUNEI MUARA, Jumaat 15 Okt 2021 – Kolaborasi antara agensi-agensi penguatkuasaan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di dalam Operasi Pulih ini telah banyak membantu pasukan dalam membuat rondaan dan pengesanan di kawasan-kawasan yang tertentu yang dinilai mempunyai saringan tertinggi berlaku kes-kes jangkitan wabak COVID-19.
Pengerahan tugasan adalah di bawah kawalan Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C19) di mana perlaksanaan tindakan adalah secara menyeluruh merangkumi ke seluruh kawasan di keempat empat daerah.
Operasi Pulih yang dikendalikan semalam 14 Oktober 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi iaitu memasuki hari ke sebelas (11) telah mencatatkan sejumlah 29 tindakan denda kompaun dikeluarkan kepada para pesalah yang telah melanggar undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Pelanggaran akta mengikut urutan daerah;
16 kesalahan di Daerah Brunei Muara
7 kesalahan di Daerah Belait
2 kesalahan di Daerah Tutong
4 kesalahan di Daerah Temburong
Masyarakat awam ditegaskan untuk lebih peka dan bersikap responsif dengan arahan pengawalan pengerakan yang dikeluarkan oleh Pihak Kerajaan. Sahut dan tanai dengan bijaksana, jangan sesekali mengambil remeh dan ringan kerana langkah dan strategi yang telah digerakkan adalah bertujuan untuk kepentingan kemaslahatan dan kesejahteraan kesemua penduduk di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
