TEMBURONG, Jumaat 15 Okt 2021 – Aktiviti penguatkuasaan undang-undang masih dan sentiasa dipertingkatkan dengan berkesan walaupun di musim negara masih bergelut dengan penularan wabak COVID-19 ini.
Pengawasan dan risikan Pihak Polis terhadap kegiatan-kegiatan yang melanggar akta perundangan sentiasa dipantau bagi memastikan pembendungan dilaksanakan daripada peringkat awal sebelum ianya lebih merebak berleluasa.
Satu kejadian percubaan menyeludup barangan tidak diisytihar telah dilaporkan semalam 14 Oktober 2021 sekitar jam 6.29 petang dan telah menahan tiga (3) orang warga tempatan hasil daripada risikan keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Jalan Labu, berdekatan simpang Kg Tanjung Bungar, Daerah Temburong.
Berikutan dengan penahanan tersebut, Pihak Polis telah menemukan di dalam kenderaan suspek bungkusan barangan beku dan mentah yang dipercayai dibawa masuk melalui Jalan Tikus.
Barangan tersebut sejumlah ;
1- 256 paket frankfurter ayam Ayamas.
2- 6 kotak besar berisi potongan ayam.
3- 3 kotak besar potongan daging jenama Allana.
4- 8 kotak besar berisi potongan hati buyah.
Tiga suspek yang ditahan adalah lelaki warga tempatan yang berumur lingkungan 36 tahun sehingga 42 tahun. Kesemua suspek beserta barang rampasan diserahkan kepada Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan seterusnya.
Di samping itu, ketiga-tiga suspek juga dihantar ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani kuarantin selama 2 minggu sebelum dijalankan siasatan lanjut.
PPDB menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat ataupun bersubahat dengan mana-mana kegiatan ataupun anasir-anasir jenayah kerana kesannya akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya di hadapan muka pengadilan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
