BRUNEI MUARA, Khamis 14 Okt 2021 – Kesiapsiagaan warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi penguatkuasa dalam menjalankan tugasan sebagai barisan hadapan semasa pandemik COVID-19 ini adalah sangat tidak dapat dinafikan. Tugasan yang dipikul adalah sangat mencabar kerana berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu virus COVID-19. 

Walaupun demikian, risiko terdedah daripada jangkitan wabak adalah amat dititikberatkan, akan tetapi perjuangan dalam menyahut seruan kerajaan tetap diteruskan demi membebaskan negara daripada cengkaman pandemik wabak ini. 

Terkini, iaitu hasil daripada Operasi Pulih yang dijalankan semalam 13 Oktober 2021 bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi telah mencatatkan sejumlah 25 pelanggaran akta dan telah diambil tindakan denda kompaun ke atas mereka. 

14 Kesalahan di Daerah Brunei Muara 

11 Kesalahan di Daerah Belait 

Menerusi operasi tersebut, masih terdapat segelintir masyarakat awam yang didapati masih ingkar akan peraturan yang telah ditetapkan. Di samping itu juga, diperingatkan kepada orang ramai bahawa bermula pada 13 Oktober 2021, denda kompaun bagi pelanggaran perintah arahan bertahan di dalam rumah kediaman dinaikkan daripada $100 kepada $500 bagi setiap kesalahan. 

Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak (masyarakat awam) adalah sangat-sangat diharapkan bagi membantu pihak kerajaan mengatur strategi memberhentikan penularan wabak ini supaya kehidupan rakyat dan pendudukan negara ini dapat membudayakan norma baharu kehidupan dengan lebih baik pada masa akan datang.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI