BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 13 Okt 2021 – Sebanyak 2,280 katon rokok pelbagai jenama, 12 botol minuman keras serta satu paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu ditemukan semasa rondaan rutin dalam Operasi Pulih yang dikendalikan oleh Keanggotaan Balai Polis Kg Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Insiden penemuan adalah merupakan hasil maklumat yang dikongsikan kepada pihak polis terhadap dua (2) buah kenderaan yang mencurigakan di kawasan letak kereta Kg Tarap Bau, Mukim Lumapas pada 12 Oktober 2021 sekitar waktu jam 9.30 malam.
Sejurus Pihak Polis membuat pemeriksaan dan pengesahan awal telah mendapati terdapat sejumlah kotak-kotak mencurigakan kelihatan dari cermin tingkap kenderaan berkenaan. Lalu pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi mengaktifkan tindakan Operasi Sepadu pada malam tersebut.
Kesemua barang tegahan dirampas dan diserahkan kepada Pihak JKED bagi siasatan dan tindakan berikutnya. Manakala penemuan paket ketulan hablur dipercayai dadah diserahkan kepada Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
