BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 11 Okt 2021 – Seorang lelaki warga tempatan, 53 tahun ditahan keanggotaan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana telah melanggar kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan Akta Penyalahgunaan Dadah (APD) Penggal 27 semasa hendak memulakan rondaan dan pemantauan Operasi Pulih. 

Insiden berlaku pada 10 Oktober 2021 sekitar jam 7.58 malam bila mana seorang individu telah didapati sedang mengayuh basikal di kawasan Jambatan RIPAS BSB lalu ditahan anggota bertugas bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan rutin. 

Hasil daripada pemeriksaan pengenalan diri telah mendapati individu tersebut tidak ada memiliki aplikasi Bruhealth. Turut ditemukan semasa pemeriksaan ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah. 

Pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) dihubungi bagi tujuan peralihan siasatan dan tindakan selanjutnya. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Operasi Pulih ini akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan di kawasan-kawasan yang berpotensi sering berlaku kejadian pelanggaran akta perundangan undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI