MUARA, Ahad 10 Okt 2021 – Cubaan seorang lelaki warga tempatan menyeludup keluar minyak petrol gagal selepas ditahan oleh keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Laut Pulau Chermin pada 9 Oktober 2021 semalam.
Dalam kejadian jam 9.32 pagi itu, dua anggota peronda Polis Marin yang bertugas telah mengesan seraya menahan sebuah perahu bertujuan untuk membuat pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan awal di dalam perahu berkenaan mendapati terdapat minyak petrol dalam jumlah yang banyak iaitu sebanyak 8 tong penuh berisi minyak petrol RON085.
Menurut suspek, tujuannya adalah untuk menghantar minyak petrol ke sepupunya yang berada di laut pada masa itu. Walau bagaimanapun, peronda bertugas merasa sangsi dan curiga akan sikap dengan tingkah laku suspek serta alasan yang tidak munasabah.
Suspek seorang lelaki berumur 30 tahun bersama perahunya dibawa ke Polis Marin untuk siasatan awal dan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.
Dalam negara menghadapi pandemik wabak COVID-19 ini, PPDB menegaskan akan sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan dalam mempelbagaikan operasi bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
