BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 9 Okt 2021 – Tiga (3) orang individu ditahan oleh Pihak Polis di kawasan Ujung Jalan Sungai Kebun, Daerah Brunei Muara pada 9 Oktober 2021 sekitar jam 12.43 tengah malam semalam kerana dipercayai telah melanggar 3 kesalahan undang-undang.
Insiden penahanan dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kg Ayer, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hasil daripada Operasi Pulih yang menumpukan kepada operasi rondaan dan sekatan jalanraya.
Semasa rondaan tersebut, seorang perempuan (suspek) warganegara tempatan berumur 52 tahun telah ditemukan sedang berdiri di kawasan berhadapan dengan Balai Bomba Sungai Kebun dan membawa bersamanya sebanyak 4 katon barang tegahan rokok dipercayai untuk dijual.
Turut sama ditemukan ialah dua (2) orang lelaki warganegara tempatan yang berumur 56 dan 43 tahun juga berada di kawasan berkenaan dan dipercayai pembeli kepada barang tegahan berkenaan.
Ketiga-tiga individu itu telah dijalankan siasatan melibatkan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 kerana melanggar arahan bertahan di kediaman, di bawah Akta Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melibatkan penemuan barang tegahan dan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 melibatkan Cukai Jalan Mansuh.
Oleh yang demikian, PPDB memberi peringatan dan amaran bahawa Pihak Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang individu yang terlibat dalam mana-mana pelanggaran undang-undang di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
