BRUNEI MUARA, Rabu 6 Okt 2021 – Melalui Operasi Pulih yang telah dilaksanakan semalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) meneruskan lagi penugasan dalam pemantauan pematuhan terhadap pelanggaran kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 bagi hari kedua.
Hasil daripada peroperasian sekatan jalanraya serta rondaan yang dijalankan semalam 5 Oktober 2021 telah mencatatkan sejumlah 35 kesalahan dan tindakan kompaun telah dikeluarkan kepada para individu yang melibatkan kesalahan melanggar arahan bertahan di kediaman masing-masing, tidak mempunyai aplikasi Bruhealth dan tidak memakai sungkup muka.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan lagi kepada orang ramai untuk sentiasa berada di dalam rumah kediaman masing-masing selepas jam 8 malam sehingga 4 pagi bagi mengelakkan daripada tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.
Selain itu, PPDB juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, jangan mengadakan sebarang acara berkumpulan dan sentiasa akur dengan arahan pihak kerajaan dalam usaha bersama-sama menjayakan Operasi Pulih ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
