BRUNEI MUARA, Selasa 5 Okt 2021 – Bagi meningkatkan lagi kepekaan dan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan undang-undang dalam pengawalan penularan COVID-19 di negara ini, satu operasi yang dinamakan Operasi Pulih telah mula dilaksanakan semalam yang menjurus kepada penekanan terhadap saranan keberadaan masyarakat awam di tempat tinggal masing-masing pada setiap malam daripada jam 8 malam hingga jam 4 pagi di samping pelanggaran kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Operasi Pulih di seluruh daerah ini bermula pada 4 Oktober sehingga 17 Oktober 2021 dan merupakan kendalian di bawah pemantauan Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C19) melibatkan keseluruhan agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang diterajui oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama gabungan daripada pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU), Jabatan Buruh serta penglibatan daripada kalangan Penghulu dan Ketua Kampung, penduduk setempat dan juga Pengawasan Kejiranan (PK).
Penguatkuasaan yang dijalankan di sepanjang Operasi Pulih melibatkan ke seluruh empat-empat daerah di negara ini, menumpukan kepada operasi – operasi sekatan jalanraya, rondaan dan pemeriksaan mengejut di kawasan – kawasan kediaman, premis perniagaan, rumah pekerja serta penumpuan pemantauan di kawasan zon-zon merah dalam menguatkuasakan sepenuhnya pematuhan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Pada malam pertama Operasi Pulih dijalankan telah pun menyaksikan beberapa pelanggaran undang-undang berkenaan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab seperti melibatkan kesalahan melanggar arahan bertahan di kediaman masing-masing , kesalahan tidak memakai sungkup muka, tidak mempunyai aplikasi Bruhealth dan kesalahan yang melibatkan Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Peroperasian akan terus berjalan secara berterusan selama dua minggu bagi memastikan masyarakat awam akur dan patuh akan arahan yang ditegaskan oleh pihak kerajaan. Kerjasama orang awam adalah amat diperlukan pada ketika ini dalam sama-sama bertanggungjawab, bekerjasama dalam usaha mengawal dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
