LIMAU MANIS, Rabu 29 Sept 2021 – Sebanyak 56 botol dan 288 tin minuman keras telah berjaya dirampas hasil daripada rondaan Operasi Sepadu Task Force Covid-19 yang dijalankan pada 29 September 2021 kira-kira jam 12.58 tengah hari di kawasan hutan Kg Lumapas, Daerah Brunei Muara. 

Operasi Sepadu berkenaan adalah gabungan keanggotaan melibatkan Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan juga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

Semasa rondaan dijalankan telah berjaya menemukan beberapa kotak-kotak berwarna hitam yang mencurigakan yang disorok dan ditutupi oleh rumput-rumput kering dipercayai taktik penyeludup untuk membawa masuk barang tegahan ke dalam Negara Brunei Darussalam. 

Kesemua barang tegahan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Kg Ayer bagi siasatan awal dan kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa mengingati orang awam agar sentiasa akur dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah diperuntukkan di Negara Brunei Darussalam.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI