BRUNEI MUARA, Sabtu 25 Sept 2021 – Dua (2) orang perempuan telah berjaya diberkas oleh Pihak Polis kerana dipercayai terlibat dalam menjalankan aktiviti yang tidak bermoral. 

Serbuan yang dijalankan pada 25 September 2021 kira-kira jam 1.29 petang itu, dikendalikan oleh pegawai dan anggota daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di sebuah bilik, bangunan flat di kawasan Bandar Seri Begawan, Daerah Brunei Muara. 

Kedua-dua suspek berkenaan merupakan warganegara asing berumur 28 dan 62 tahun yang disyaki ada menawarkan khidmat seks. 

Hasil daripada pemeriksaan juga telah menemukan beberapa barangan bukti seperti telefon bimbit, kepingan kondom dan wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tersebut.

Kesemua suspek yang ditahan segera dibawa bagi menjalani ujian saringan (Swab Test) dan seterusnya akan dijalankan siasatan di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan agar melaporkan ke talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI