BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 2 Sept 2021 – Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu serbuan dan seterusnya membuat penahanan ke atas seorang wanita yang dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral.
Serbuan yang dijalankan pada 2 September 2021 sekitar waktu petang itu mensasarkan ke salah sebuah bilik hotel penginapan di kawasan Kiarong, di mana seorang wanita warganegara tempatan dipercayai ada menjalankan aktiviti memberikan khidmat seks.
Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian dan menemukan beberapa bahan bukti bagi menyokong serta membantu pihak polis dalam melancarkan kertas penyiasatan atas perilaku yang telah dilakukan suspek.
Suspek berumur 44 tahun, tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan telah menginap di bilik penginapan tersebut sejak 3 bulan yang lalu.
Suspek kemudian segera dibawa ke Hospital RIPAS bagi menjalani ujian saringan (swab test) COVID-19 dan dimasukkan ke lokap Balai Polis BSB bagi menantikan keputusan ujian saringan sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memandang serius akan kegiatan sarang maksiat sedemikian ini dan ingin menegaskan kepada para pengendali rumah sewa dan rumah tumpangan agar sentiasa membuat pemeriksaan terhadap para penginap yang mencurigakan dan juga tidak bersubahat dengan kegiatan seperti aktiviti menawarkan khidmat seks dan sebagainya.
Pihak Polis juga ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.police.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
