TEMBURONG, Khamis 19 Ogos 2021 – 3 orang individu telah ditahan oleh keanggotaan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hasil daripada sekatan jalanraya yang dikendalikan di kawasan Jambatan SHOAS, Daerah Temburong pada 19 Ogos 2021 sekitar waktu tengahari.
Berikutan daripada operasi rondaan yang berterusan melalui operasi perlaksanaan Akta Penyakit Berjangkit 204, sebuah kenderaan yang mencurigakan dengan keadaan bonet belakang yang sarat telah didapati memecut laju selepas sahaja keluar daripada kawasan Ujung Jalan, Jalan Labu dan menghala ke kawasan Jambatan SHOAS.
Peronda bertugas segera diaktifkan untuk membuat operasi sekatan jalanraya mengejut di kawasan jambatan tersebut. Kenderaan bersama pemandu dan 2 penumpang berjaya ditahan dan pemeriksaan menyeluruh segera dilaksanakan.
Hasil daripada pemeriksaan telah mendapati sejumlah barang tegahan iaitu 50 katon rokok dan 120 botol minuman keras pelbagai jenama. Turut ditemukan ialah paket-paket plastik dipercayai berisi hablur serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketiga-tiga suspek lelaki adalah warganegara tempatan yang berumur 47, 27 dan 22 tahun.
Kesemua tahanan dan barang rampasan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa memastikan penugasan di kawasan sempadan dipantau dan diperketatkan dari masa ke semasa. Ianya adalah untuk menyekat kemasukan penyeludupan dan individu-individu secara haram bagi mengekang penularan wabak Covid-19 selain membanteras kesalahan-kesalahan jenayah yang termaktub di dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
