TEMBURONG, Jumaat 13 Ogos 2021 – Sejumlah 264 kotak sungkup muka, pelbagai barangan kosmetik, produk-produk kecantikan dan kesihatan, makanan mentah dan helaian pakaian ditemukan, hasil daripada penahanan sebuah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Jalan Sibulu Kecil, Temburong pada 12 Ogos 2021 sekitar awal malam. 

Insiden penemuan adalah hasil rondaan dan pemantauan keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), semasa sekatan jalanraya dikendalikan di kawasan berdekatan Autoriti Jambatan Brunei, di mana sebuah kenderaan pacuan 4 roda didapati telah berhenti di tepi bahu jalanraya sebelum sampai ke lokasi sekatan berkenaan. 

Keanggotaan peronda bertugas segera mendekati lalu kenderaan berkenaan segera membuat pusingan, mengubah haluan kemudian memecut melarikan diri. Bilik gerakan balai segera dimaklumkan bagi bantuan keanggotaan dan insiden kejar mengejar berlaku di sepanjang perjalanan menghala ke Pekan Bangar. 

Kereta bersama pemandu dan penumpang berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan telah menemukan sejumlah kotak yang mencurigakan tersimpan dibahagian kerusi penumpang bahagian belakang. Kedua-dua suspek, kenderaan dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal. 

Pemandu merupakan seorang lelaki berumur 44 tahun dan penumpang seorang perempuan berumur 40 tahun, kedua-duanya warganegara tempatan dan juga penjawat awam. 

Seterusnya kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di Negara Brunei Darussalam. 

Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI