TEMBURONG, Rabu 11 Ogos 2021 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil merampas sejumlah barang tegahan minuman keras di kawasan Kg Perdayan, Daerah Temburong.
Penemuan berkenaan adalah hasil daripada rondaan dan pemantauan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar di kawasan padi Kg Perdayan pada 10 Ogos 2021 sekitar lewat petang.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, di mana barangan tegahan adalah berjumlah 96 botol dan 672 tin minuman keras pelbagai jenama yang telah ditemui di kawasan semak dalam keadaan berbungkus kotak berwarna hitam yang mencurigakan.
Kesemua barangan tegahan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.
Sehubungan dengan itu, PPDB menegaskan masyarakat awam agar tidak terlibat dengan kegiatan barang tegahan seludup yang mana jika tidak ditangani dengan segera, ianya dapat menjejaskan keselamatan, keharmonian dan kehidupan masyarakat.
Turut disarankan kepada orang ramai, jika ada mempunyai maklumat atau mengetahui mengenai sebarang individu yang membuat perjalanan menyeberang sempadan secara haram adalah dinasihatkan untuk melaporkannya segera kepada pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang di negara ini dengan seberapa segera.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
