BRUNEI MUARA, Sabtu 31 Julai 2021 – Kejadian kebakaran yang meranapkan sebuah Masjid di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Mentiri pada tahun 2017 yang lalu telah membawa kepada penahanan ke atas dua (2) orang individu bagi menjalani siasatan.
Berikutan dengan kejadian tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Muara dan agensi-agensi yang terlibat turut giat menjalankan siasatan bagi pengumpulan maklumat dan bukti untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Hasil daripada siasatan lanjut telah berhasil menahan dua (2) orang suspek lelaki dan wanita warga tempatan bernama Mohd Erwan bin Manggis berumur 39 tahun dan Efarizah binti Zakaria 43 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan.
Terkini, tertuduh pertama Mohd Erwan bin Manggis telah dihadapkan ke Mahkamah Perantaran BSB bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Khianat dengan membakar atau menggunakan benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.
Dalam pada itu, tertuduh pertama juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu terlibat dengan jenayah curi di dalam rumah sewa di Kg Lumapas pada sekitar bulan Mac 2021.
Hasil daripada perbicaraan, pengakuan tertuduh pertama telah dibacakan dan tertuduh telah mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan dan perbicaraan selanjutnya akan dijalankan pada 17 Ogos 2021 bagi penetapan hukuman. Walau bagaimanapun, Pihak Mahkamah telah memerintahkan tertuduh bagi menjalani tahanan reman sehingga tarikh perbicaraan berkenaan.
Manakala bagi tertuduh kedua, siasatan dan pendakwaan masih dijalankan bagi pengumpulan bukti terhadap penglibatan tertuduh.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat dan terjerumus dengan apa jua kegiatan jenayah dan Pasukan juga tidak akan berhenti untuk menyiasat mana-mana kes sehingga tertangkapnya sipenjenayah.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
