JUMAAT 30 Julai 2021 – Program Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merupakan salah satu strategi inisiatif Pihak Polis dan gandingan bersama masyarakat awam dalam membantu mencegah dan membanteras sebarang anasir-anasir negatif dan gejala-gejala jenayah di negara ini. 

Program PK ini sentiasa bergiat aktif dan mendapat sokongan penduduk kampung dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang seperti membuat rondaan-rondaan pencegahan jenayah di kawasan-kawasan yang dianggap tumpuan ‘hotspot’ atau dipercayai sering berlakunya kejadian-kejadian jenayah. 

LAMUNIN – Dengan hasrat memastikan keadaan kampung dalam keadaan aman dan damai, Balai Polis Lamunin bersama ahli-ahli PK Kg Padnunok, Kiudang / Mungkom, Lamunin telah menggerakkan program PK mereka dengan membuat rondaan pencegahan jenayah di beberapa kawasan kampung-kampung tersebut. 

Mengetuai rondaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai (A/OCS) Inspektor Shahrin bin Serbini bersama 9 anggota dan ahli-ahli PK. 

Rondaan pada jam 11 malam itu bermula daripada kawasan jalan-jalan persimpangan diikuti dengan Jalan Andaru, kawasan Wasai Batu Mapan, Jalan Batang Paip, kawasan perkebunan serta kawasan gerai dan persekitaran kampung yang berakhir tanpa menemukan sebarang penemuan yang mencurigakan. 

LIMAU MANIS – Beberapa tempat di kawasan kampung Junjungan turut dijalankan rondaan terutama sekali di kawasan-kawasan rumah kediaman dan kawasan perkebunan oleh keanggotaan Balai Polis Limau Manis beserta ahli PK Kg Junjungan, Limau Manis. 

Hadir bagi turut sama mendukung program ini ialah Penolong Menguasa Balai Polis Limau Manis (A/OCS) Inspektor Haji Mohammad Din bin Tanjong bersama Pemangku Ketua Kampong Junjungan, YM Haji Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang. 

Di samping rondaan pencegahan jenayah, ahli-ahli PK turut meninjau kawasan sekatan jalan raya yang dikendalikan Balai Polis Limau Manis bertujuan bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tugasan Pihak Polis dalam menangani tindakan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh para pemandu sama ada berkaitan dengan Akta Kesalahan Lalulintas Jalanraya mahupun berkaitan dengan Akta Kesalahan Jenayah. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya Balai-Balai Polis di seluruh negara akan sentiasa berterusan mengadakan program rondaan PK seperti ini bagi memastikan perlanggaran undang-undang negara sentiasa ditangani, dipantau dan dibanteras dengan sebaiknya.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI