BRUNEI MUARA, Isnin 24 Mei 2021 – Dalam usaha pihak kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, masih terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab telah menularkan pelbagai sentimen serta maklumat-maklumat yang tidak sahih mengenainya.
Implikasi terhadap perkara tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan kebimbangan dan kerisauan yang serius kepada masyarakat awam lebih-lebih lagi di masa musim perayaan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.
Terkini, beberapa teks mesej telah tular di media-media sosial menyatakan kemasukkan warga-warga asing secara tidak sah ke negara ini dengan melalui jalan-jalan tikus (iaitu jalan darat) dan juga melalui perjalanan laut.
Berikutan berita tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa maklumat yang tular tersebut adalah palsu dan tidak sahih. Ketika ini Pihak Polis melalui Balai Polis Bandar Seri Begawan sedang menjalankan siasatan dan telah berhasil menahan dua (2) orang suspek lelaki dan perempuan warganegara tempatan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 505, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Pernyataan yang mendatangkan khianat awam, yang mana jika sabit kesalahan akan diberi hukuman penjara selama 5 tahun beserta denda dan di bawah Seksyen 34, Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 iaitu menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu, yang mana jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun beserta denda.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dan untuk tidak terbelenggu dengan sikap mudah mempercayai maklumat yang mencurigakan dan tidak pasti akan kesahihannya.
PPDB dalam situasi pengawalan penularan wabak COVID-19 akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan maklumat-maklumat palsu akan diperjelaskan dengan secepatnya bagi mengelak sebarang tanggapan dan sentimen buruk yang boleh sahaja mendatangkan huru-hara kepada masyarakat awam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
