GADONG – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran PEKERTI di Surau Sementara Polis bagi menyemarakkan Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini.
Tetamu Kehormat bagi majlis tersebut adalah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, Isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Di Pertua PEKERTI.
Turut hadir adalah Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan Ahli-Ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI. Majlis Tadarus dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Supt Hajah Norputemah binti Haji Puteh, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara berkumpulan dan bacaan Ratib Al-Attas. Tetamu kehormat seterusnya bersama-sama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli-Ahli PEKERTI menunaikan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Surau Polis.
Aktiviti keugamaan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara semua ahli PEKERTI dan di samping itu menggalakkan membaca Al-Quran terutama di dalam bulan yang mulia ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
