GADONG, Sabtu 8 Mei – Dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman kawasan Perindustrian Pulau Muara Besar (PMB) berterusan terjamin, satu upacara penyerahan kenderaan telah disampaikan oleh Darussalam Enterprise (DARe) kepada Pasukan Polis Diraja Brunei.
Acara tersebut berlangsung pada 8 Mei 2021 bertempat di Ibu Pejabat Polis, Jalan Tungku Gadong yang diwakili oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB.
Penyerahan dua (2) buah kenderaan pacuan empat roda yang telah pun dinaik taraf spesifikasinya kepada kenderaan polis telah disempurnakan penyerahannya oleh Yang Mulia Javed Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif DARe.
Dengan adanya kenderaan polis tersebut akan menjadi pemangkin kepada kelancaran operasi rondaan serta tindak balas yang cepat dalam menangani sebarang insiden yang berkaitan di pulau tersebut.
DARe juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa Tapak Perindustrian PMB adalah kawasan larangan dan dilindungi di bawah undang-undang Brunei Bab 147 (Akta Kawasan Terkawal dan Tempat Terkawal). Individu dan kenderaan yang memiliki pas keselamatan khas hanya akan dibenarkan melalui jambatan tersebut menuju ke Pulau Muara Besar.
Di samping itu juga bagi mengelakkan kekeliruan, orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mengikuti semua papan tanda jalan di dalam dan sekitar Perindustrian Serasa dan agar tidak memasuki kawasan persisiran pulau.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
