MUARA, Jumaat 7 Mei 2021 – Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan oleh keanggotaan Peronda Sungai Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan perairan Tanjung Semesta kerana dipercayai cuba untuk membawa masuk barang tegahan.
Kejadian berlaku pada 6 Mei 2021, semasa Polis Peronda Sungai membuat rondaan di kawasan perairan Sungai Brunei dan telah menemukan sebuah perahu dalam keadaan bergelap tanpa lampu dan mencurigakan. Insiden kejar-mengejar pun berlaku sebaik perahu tersebut menyedari akan kehadiran Polis Peronda.
Perahu yang mencurigakan berjaya ditahan bersama pemandunya dan hasil daripada pemeriksaan telah menemukan 2 paket Ayamas Nuget dan 20 paket jenama Wise Choice dipercayai dibawa masuk secara seludup dan tidak sah.
Suspek pemandu merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 51 tahun dan penyiasatan kes diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.
PPDB akan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan kawalan bagi memastikan negara bebas dari jenayah rentas sempadan. Di samping itu, PPDB juga mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan membuat laporan jika mengesan aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
