MUARA, Isnin 26 April 2021 – Seorang pemandu warga emas meninggal dunia selepas terlibat dengan kemalangan dua (2) buah kereta yang berlaku di kawasan Kampong Tanah Jambu, Muara. 

Laporan kemalangan disahkan diterima Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) daripada talian kecemasan 993 pada 26 April 2021 sekitar jam 2.39 petang memaklumkan mengenai kemalangan dua (2) kereta dan ada melibatkan kecederaan. 

Pihak penyiasat bertugas segera ke tempat kejadian dan segera menjalankan siasatan. Hasil daripada kumpulan maklumat, mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang lelaki berumur 83 tahun dan telah disahkan meninggal dunia di Hospital RIPAS BSB oleh doktor petugas. 

Manakala pemandu bagi sebuah kenderaan lagi juga telah mengalami kecederaan dan ketika ini masih dirawat dan menjalankan pemantauan di Hospital RIPAS BSB. 

Punca kejadian kemalangan ini masih dalam siasatan Pihak Polis. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menegaskan kepada orang ramai agar tidak memandu jika dalam keadaan tidak sihat atau dalam keadaan mengantuk, sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling. Jangan memandu laju dan jangan mempunyai sikap mementingkan diri sendiri, tanamkan sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa, tanggungjawab hendaklah ditanai bersama dalam menjaga keselamatan diri sendiri serta pengguna jalanraya yang lain.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI