TEMBURONG, Rabu 21 April 2021 – Kecekapan keanggotaan Balai Polis Bangar dalam menjalankan pemantauan pencegahan jenayah sekali lagi telah berjaya menghidu kegiatan aktiviti penyeludupan di kawasan Kg Belais pada 20 April 2021 sekitar waktu malam.
Kegiatan tersebut terbongkar bila mana keanggotaan bertugas terdengar bunyi sebuah perahu sedang menyusuri masuk ke dalam perairan kawasan Sungai Belais dan dipercayai berhenti di kawasan tebingan sungai dalam keadaan yang mencurigakan. Tidak lama selepas itu, perahu tersebut didapati beredar dan meninggalkan tempat berkenaan.
Sejurus selepas itu, keanggotaan balai segera membuat pemeriksaan ke kawasan tebing sungai itu dan telah menemukan beberapa bungkusan kotak-kotak mencurigakan diletakkan di kawasan semak-samun dipercayai diturunkan dari perahu tersebut.
Kesemua bungkusan berkenaan dibawa ke Balai Polis Bangar untuk pemeriksaan lanjut. Hasil dari pemeriksaan mendapati barangan tersebut ialah barang-barang yang tidak diisytiharkan seperti barangan elektrik, pakaian, barangan kosmetik dan ubat-ubatan.
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja segera dihubungi dan diserahkan penyiasatannya beserta barang-barang bukti bagi tindakan selanjutnya.
PPDB akan sentiasa mempergiatkan rondaan dan kawalan sempadan negara bagi membanteras sebarang bentuk pencerobohan dan aktiviti penyeludupan barang-barang tegahan dan yang tidak diisytiharkan masuk ke dalam negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
