TEMBURONG, Isnin 19 April 2021 – Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 33 tahun ditahan pihak polis kerana dipercayai membawa bersamanya barangan tegahan di kawasan tapak perkuburan, Kg Negalang Daerah Temburong. 

Insiden penahanan berpunca semasa rondaan pencegahan dijalankan oleh keanggotaan peronda Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Jalan Labu, Kg Negalang lalu terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan. Peronda Balai segera mengekori kereta suspek sehingga berjaya ditahan seraya menjalankan pemeriksaan. 

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan suspek telah menemukan sejumlah 30 kotak daging beku jenama Allana seberat 20kg sekotak dan sebanyak 64 pasu kecil berisi pelbagai pokok bunga dan tumbuhan yang disimpan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bahagian bonet belakang kereta suspek dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa ada sebarang kebenaran dan permit yang sah. 

Di samping itu juga, turut ditemukan 1 paket plastik berisi hablur dipercayai dadah terkawal beserta alat perkakasnya. 

Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar dan fail siasatan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Biro Kawalan Narkotik bagi siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa berusaha dan bertindak lebih agresif dalam pembanterasan dan pengekangan terhadap penyeludupan barangan tegahan di negara ini dengan mempelbagaikan skop rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi menjadi jalan tikus kepada kegiatan penyeludupan ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI