TEMBURONG, Selasa 13 April 2021 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya memberkas dua orang suspek lelaki berumur 33 dan 45 tahun dipercayai terlibat membawa masuk sejumlah daging mentah ke negara ini tanpa sebarang kebenaran dan permit yang sah.
Dalam insiden tersebut, sewaktu rondaan dan pemantauan pencegahan dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar telah menemukan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Jalan Labu, Daerah Temburong pada 13 April 2021 sekitar jam 5.30 pagi.
Kedua-dua buah kenderaaan tersebut ditemui berada di kawasan Jambatan SHOAS sedang menunggu bagi jambatan dibuka. Pemeriksaan dan penahanan segera dijalankan ke atas salah sebuah kenderaan yang mencurigakan bersama pemandunya. Manakala sebuah kenderaan lagi terus memecut lari bila menyedari akan kehadiran pihak polis menghala ke kenderaannya.
Keanggotaan bertugas bertindak mengejar kenderaan tersebut dan mendapati kenderaan berkenaan telah terlibat dalam kemalangan di kawasan Kg Ujong Jalan tanpa sebarang pemandu.
Setelah pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan yang ditahan di kawasan Jambatan SHOAS dan telah menemukan sejumlah barang tegahan iaitu sebanyak 46 kotak daging beku jenama Allana dan juga mendapati sebanyak 60 katon minuman keras daripada kenderaan yang mendapat kemalangan.
Kesemua suspek beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
PPDB ingin menyeru orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui Talian Kecemasan Polis 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
