TEMBURONG, Ahad 11 April 2021 – Sejumlah 476 paket makanan daging beku dirampas semasa rondaan pencegahan yang dikendalikan di kawasan KM 23.5 Jambatan SHOAS pada 10 April 2021 sekitar jam 8.44 malam semalam. 

Penahanan berkenaan dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ke atas sebuah kenderaan yang mencurigakan yang sedang dalam perjalanan daripada Daerah Temburong menghala ke Bandar Seri Begawan.  

Sejurus pemeriksaan dijalankan telah menemukan bungkusan kotak-kotak dipercayai berisi paket-paket daging beku dan beberapa kotak produk kecantikan yang disimpan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bahagian bonet kereta suspek. 

Seramai dua (2) orang suspek (pemandu dan penumpang) melibatkan warga negara tempatan turut ditahan kerana dipercayai terlibat dengan membawa masuk daging mentah tanpa sebarang kebenaran dan permit yang sah. 

Barang-barang yang tidak diisytiharkan berjenama Ayamas Frankfurter Sosej, drummet, nugget dan lain-lain jenis diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) beserta suspek bagi siasatan lanjut. 

Dalam hal ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa meningkatkan keupayaan dalam memperkasa usaha kerajaan untuk sama-sama menangani isu-isu yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI