LUMAPAS, Jumaat 19 Mac 2021 – Usaha kerjasama di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berhasil menggagalkan dua (2) cubaan menyeludup masuk barangan larangan ke negara ini menerusi Operasi Sepadu Taskforce Security Covid-19, pada 19 Mac 2021. 

Kejadian pertama pada sekitar jam 2.14 pagi apabila pasukan rondaan menemukan dua kotak besar berwarna coklat yang mencurigakan diletakkan di atas tanah di kawasan Lumapas. 

Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut telah mendapati sebanyak 2,370 paket kecil Tembakau jenama (HANS). 

Manakala dalam kejadian kedua pada jam 3.12 pagi, sepasukan rondaan juga telah menemui longgokkan kotak yang mencurigakan di tempat yang berasingan kawasan Lumapas dan hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 96 tin dan 36 botol minuman keras pelbagai jenama. 

Kesemua barang tegahan dibawa ke Balai Kg Ayer untuk siasatan awal dan kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa proaktif dalam menjalankan penguatkuasaan dan rondaan di kawasan-kawasan sempadan negara bagi mengekang dan membanteras daripada terdedah dan menjadi laluan para penjenayah untuk menjalankan kegiatan jenayah. 

Di samping itu, PPDB memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang tegahan ke talian kecemasan polis 993 atau balai-balai polis berdekatan atau melalui laman media sosial Instagram @upa.ppdb.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI