RABU, 10 Mac 2021 – Usaha menggerakkan Pengawasan Kejiranan bersama-sama Pasukan Polis Diraja Brunei dalam agenda pencegahan jenayah diperluaskan melalui rondaan dan program pendekatan. 

Program pendekatan telah diadakan bersama Pemangku Ketua Kampung Sg Kelugos, Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Haji Muhammad dan Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Muhd Haiqal bin Abdullah Raman 

Perbincangan menyentuh mengenai isu dan hal ehwal kampung serta pengongsian statistik jenayah yang berlaku di Kampung Sg Kelugos. Turut hadir Focal Point Balai Polis Tutong dan ahli PK Sg Kelugos. 

Dua rondaan berasingan telah dijalankan bagi memantau keselamatan dipersekitaran kampung masing-masing. Rondaan pencegahan jenayah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kg Ayer, Inspektor Mohd Ali Dzulfikri bin Mohd Taib bersama Pemangku Ketua Kampung Lumapas B, Yang Mulia Mohammad Ali bin Tanjong.  

Hasil rondaan di kawasan Kampung Lumapas B termasuk kawasan persekitaran ladang pertanian dan juga tapak industri telah tidak menemukan perkara-perkara yang mencurigakan atau melibatkan unsur-unsur jenayah. 

Manakala rondaan yang dijalankan bersama ahli PK Kampung Beribi, Mukim Gadong B disertai oleh Pemangku Ketua Kampung Kiarong, Yang Mulia Haji Puasa bin Haji Dullah dan Pemangku Ketua Kampung Beribi, Yang Mulia Haji Ali bin Haji Matassan. 

Rondaan tertumpu di kawasan Kg Beribi, Kg Kiarong termasuk bangunan-bangunan komersial dan sekitarnya. Sebelum rondaan dijalankan, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat BSB, Inspektor Pg Md Noorhasni bin Pg Hj Omar menyampaikan taklimat tentang tugas peranan PK kepada ahli PK Kg Beribi bagi keselamatan semasa dalam menjalankan rondaan. 

Matlamat utama adalah untuk memupuk budaya pencegahan jenayah di kalangan masyarakat ke arah mewujudkan persekitaran kampung yang selamat. Justeru, masyarakat juga bertanggungjawab untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI