MUARA, Jumaat 5 Mac 2021  – Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan majlis penyampaian surat lantikan keahlian Pengawasan Kejiranan (PK) yang baharu bagi kawasan RPN/STKRJ Kg Tanah Jambu dan RPN Kg Sg. Buloh, Bukit Sibanging, Daerah Brunei Muara. 

Penyerahan surat lantikan disampaikan oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis (ASP) Hjh Nur Azhani Hj Johaini kepada 31 orang ahli-ahli baharu yang terdiri daripada 21 orang ahli PK RPN/STKRJ Kg Tanah Jambu yang diketuai oleh Pmk. Ketua Kampung,Yang Mulia Hj Abd Wahab Hj Kassim dan seramai 10 ahli baharu daripada STKRJ Kg Sg Buloh yang dipimpin oleh ketua kampung berkenaan Yang Mulia A.Hamidun Mohd Daud. 

Di samping itu juga, turut dikongsikan ialah taklimat Pengawasan Kejiranan menjurus kepada matlamat, tujuan, sejarah penubuhan serta kefahaman lanjut yang disampaikan oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Normazlina bte Emran, Pegawai Perhubungan Awam PPDB selaku Urus Setia PK. 

Dengan adanya penambahan ahli ini, ianya diharapkan akan menunjukan impak yang positif dalam menarik penduduk kampung untuk ikut serta dalam sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan kampung serta memantapkan lagi organisasi PK di kampung tadahan masing-masing. 

Kerjasama yang terjalin di antara Pasukan Polis dan ahli-ahli PK akan memacu lagi strategi dan perancangan dalam peningkatan penyaluran maklumat, aktiviti rondaan mahupun pemantauan kegiatan jenayah agar dapat dikekang dengan sebaiknya.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI