TEMBURONG, Khamis 25 Feb 2021 – Hasil daripada strategi pencegahan jenayah melalui rondaan dan pemantauan keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sekali lagi telah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan di kawasan Daerah Temburong pada 25 Februari 2021 sekitar waktu pagi. 

Menurut siasatan awal, pihak polis telah mendapati tiga (3) buah kenderaan sedang berada di kawasan penurunan perahu Kg Negalang dalam keadaan yang mencurigakan. Sejurus selepas itu, didapati kelibat beberapa orang individu sedang memunggah dan mengeluarkan barang-barang daripada sebuah perahu dan kemudiannya menyimpannya ke dalam ketiga-tiga kereta berkenaan. 

Pihak Polis mula mengambil tindakan dan penahanan selepas kesemua kenderaan selesai memunggah dan berada di kawasan Jalan Kg Negalang untuk menjalani pemeriksaan. Salah seorang pemandu kereta berjaya ditahan manakala pemandu-pemandu dua (2) buah kenderaan yang lain sempat melarikan diri di kawasan hutan berdekatan dan gagal dikesan. 

Pemandu dan 3 buah kenderaan yang mencurigakan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal. Pemeriksaan telah dijalankan dan telah menemukan sebanyak;  

1- 10 karton minuman keras jenis botol

2- 66 karton minuman keras jenis tin pelbagai jenama

3- 50 kotak berisi daging mentah

Semasa pemeriksaan tubuh badan ke atas pemandu (suspek) turut menemukan satu paket kecil mengandungi pecahan hablur dipercayai dadah jenis Syabu. 

Seterusnya kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan dalam menangani apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan penyeludupan dari masa ke semasa. 

Dipohonkan kerjasama orang ramai bagi sama-sama membantu pihak berkuasa dalam memerangi kegiatan jenayah dan menyalurkan maklumat berkaitan ke taliantalian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI