BRUNEI MUARA, Ahad 7 Feb 2021 – 17 orang individu warganegara asing dan penduduk tetap ditahan pihak polis kerana terlibat dengan kegiatan perjudian di sebuah kediaman di kawasan Tungku, Mata-Mata Gadong pada 6 Februari 2021 sekitar jam 11 malam semalam. 

Kegiatan perjudian tersebut telah diserbu oleh keanggotaan daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat serta Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Semasa serbuan dijalankan telah menyaksikan 13 suspek lelaki dan 4 suspek wanita berumur sekitar 27 hingga 56 tahun tersentak dan cuba untuk melarikan diri bila mana keanggotaan unit berkenaan meluru masuk ke dalam rumah berkenaan. Kegiatan judi yang dijalankan di ruang tamu rumah tersebut berjaya dikawal dan kesemua suspek ditahan sepenuhnya. 

Penelitian awal mendapati, permainan judi yang dilakukan adalah jenis ‘Xoc Dia’ iaitu judi melibatkan 4 keping kertas berwarna merah dan putih yang dimasukkan di dalam suatu bekas dan menjadi pertaruhan kaki judi. 

Pihak polis turut menemukan peralatan permainan judi seperti mangkuk dan piring yang dijadikan tempat penyimpanan 4 keping kertas berwarna beserta sejumlah wang tunai. 

Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi menjalani siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. 

Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan kegiatan judi merupakan racun masyarakat yang perlu dibendung dengan sewajarnya. 

Implikasi terhadap kegiatan ini merangsang kepada pengaruh yang sangat negatif sehingga boleh merosakkan institusi masa depan diri sendiri mahupun kehidupan berkeluarga.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI