Jumaat, 5 Feb 2021 – Koliberasi berterusan di antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama masyarakat awam melalui program Pengawasan Kejiranan (PK) menjadi pemangkin dalam hala tuju untuk menyaksikan negara ini bebas daripada apa jua kegiatan jenayah dan pengaruh-pengaruh negatif.    

Kesatuan koliberasi yang dibina ini juga diharap dapat mendidik masyarakat awam akan betapa pentingnya keperihatinan sesama berjiran dalam menjaga keselamatan kawasan persekitaran dan rumah kediaman.    

Menyahut seruan tersebut, beberapa buah kampung telah menggerakkan program PK ini melalui rondaan pencegahan jenayah bersama Pegawai-Pegawai Menguasa Balai dan ahli-ahli PK.   

SERIA – Rondaan keanggotaan balai yang diketuai oleh ASP Syed Afidzul Azeez bin Sheikh Hj Abu Bakar, Pegawai Menguasa Balai Polis Seria bersama Ahli PK yang hadir menumpukan rondaan di Kawasan Barek Lorong 3 Selatan Seria, Kawasan Perumahan STKRJ Lorong 3 Seria, RPN Lorong Tengah, Kawasan Sekolah PSN Lg. 3 Selatan Seria dan Kedai Pekan Seria.   

TEMBURONG – Rondaan pencegahan jenayah Balai Polis Bangar kali ini dipimpin oleh Inspektor Percubaan Mohd Nazri bin Haji Junaidi bersama Yang Mulia Awang Ambol Anak Baki, Pemangku Ketua Kampong Lepong, selaku Pengerusi PK.   

Rondaan dijalankan di sekitar Kg Lepong Baru, Kg Lepong Lama, Kg Semabat, Kg Kenua, Pos Polis Kawalan Temada, Balai Raya Kg Semabat dan Rumah Bahagia kg Semabat.   

Sepanjang kesemua rondaan tidak ada menemukan sebarang kegiatan-kegiatan yang melanggar undang-undang mahupun berupa jenayah.     

Di samping itu juga beberapa Pendekatan bersama ketua kampung juga dilakukan.   

MUARA – Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Muara yang diketuai Pegawai Menguasa Balai Polis Muara ASP Hjh Nur Azhani binti Haji Johaiani telah membuat pendekatan ke rumah Yang Mulia, Haji Maidin bin Tarip, Ketua Kampong Batu Marang.   

Pendekatan tersebut bertujuan untuk membincangkan tentang aktiviti PK bersama ketua kampung dan berkongsi maklumat mengenai jenayah yang berlaku sekaligus memberi saranan kepada ketua kampung agar melaporkan kepada pihak polis sebarang kejadian jenayah yang berlaku.    

TUTONG – UPK Balai Polis Tutong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Muhd Haiqal bin Abdullah Raman telah membuat aktiviti pendekatan bersama Pemangku Ketua Kampong Bukit Udal, Yang Mulia Awang Mohd Azmi bin Md. Yusof.   

Di samping tujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara Pasukan Polis Diraja Brunei dengan penduduk kampung dan pemangku ketua kampung khususnya. Beberapa perkara juga turut dibincangkan, antaranya adalah permasalahan yang sering dihadapi oleh penduduk kampung dan mengenai kadar statistik jenayah yang berlaku dan yang dilaporkan kepada ketua kampung dan di Balai Polis Tutong.   

Kerjasama yang erat ini serta kesepakatan yang padu antara Pihak Polis dan masyarakat perlu terus diperkasakan demi menjaga kepentingan serta keselamatan dalam mewujudkan negara yang aman dan sejahtera. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI