BRUNEI MUARA, Ahad 31 Jan 2021 – Peranan masyarakat dititik beratkan sebagai penyumbang utama dalam merealisasikan hasrat negara ini untuk menjadi sebuah negara yang kekal aman, makmur dan sejahtera. Justeru, melalui perpaduan yang dibina serta rangkaian kerjasama sesebuah komuniti masyarakat seperti Pengawasan Kejiranan (PK) kelolaan Pasukan Polis Diraja Brunei ini akan menjadi nilai tambah bagi mencapai hasrat tersebut.
Sehubungan itu, satu majlis telah dikendalikan bagi meraikan pendaftaran seramai 77 orang ahli-ahli PK yang baharu dengan penyampaian surat lantikan dan penyerahan sijil penghargaan yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis, Gadong.
Penyerahan surat dan sijil telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Yang Mulia Penguasa Polis Pg Muhaimin bin Pg Hj Mustapha. Turut hadir ialah Yang Berhormat Awg Naim bin Haji Kamis , Penghulu Mukim Kota Batu, Pegawai-pegawai Polis, para penghulu dan ketua-ketua Kg serta keanggotaan Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan.
Bagi menambah pengetahuan kepada ahli-ahli PK, majlis turut diisikan dengan taklimat yang disampaikan dari urusetia PK, taklimat daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.
Majlis ini diadakan adalah sebagai tanda penghargaan kerjasama antara anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan orang awam kerana dengan sukarela tampil bagi bersama-sama memastikan keamanan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
