MUARA, Sabtu 30 Jan 2021 – Komitmen dan kecekapan keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam menjalankan Operasi Sungai di kawasan perairan Pulau Keinggaran sekali lagi berjaya menumpaskan satu kes penyeludupan pelbagai jenis barangan tegahan pada waktu malam 29 Januari 2021.
Dalam kejadian itu, keanggotaan Polis Marin telah mengesan sebuah perahu bewarna hitam tanpa memasang lampu yang sarat dengan muatan kotak-kotak yang mencurigakan. Justeru itu, pihak polis terus bertindak mengejar perahu yang dicurigai itu dan menemukan perahu tersebut terdampar ke pendaratan di kawasan darat Kg Pengkalan Sibabau.
Pemeriksaan segera dijalankan ke atas perahu yang terdampar dan mendapati enjin perahu masih dalam keadaan hidup tanpa pemandu bersama muatan kotak-kotak dipercayai mengandungi rokok pelbagai jenis dan minuman keras.
Sebanyak 1,800 karton rokok dan 1,680 tin serta 60 botol minuman keras pelbagai jenama ditemukan dalam muatan kotak-kotak yang dicurigai. Kesemua barang-barang tegahan dipercayai didatangkan dari negara jiran.
Barang-barang tegahan dirampas dan perahu ditunda menuju ke Pengkalan Polis Marin sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan selanjutnya.
PPDB akan bertindak lebih agresif dalam membanteras penyeludupan barangan tegahan ke dalam negara ini dengan mempelbagaikan skop rondaan dan kawalan di kawasan perairan bagi memastikan negara bebas dari jenayah rentas sempadan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
