MUARA, Khamis 28 Jan 2021 – Rondaan Pencegahan Jenayah di kawasan perairan Sungai Brunei membuahkan hasil bilamana sebuah perahu yang mencurigakan berjaya dipintas seraya membuat penahanan ke atas pemandunya.
Kejayaan ini berikutan daripada operasi yang dikendalikan oleh keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang dijalankan pada 27 Januari 2021 sekitar waktu awal malam di kawasan Laut Kampong Serdang.
Melalui kejadian tersebut, seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun berhasil ditahan setelah cuba untuk melarikan diri dan terjadi pertembungan antara perahu suspek dan Bot Polis mengakibatkan perahu suspek dimasuki air dan karam.
Ditemui semasa penahanan tersebut, sejumlah barangan yang terapung dipercayai daripada perahu suspek dan setelah pemeriksaan dijalankan mendapati ianya adalah merupakan ayam mentah yang dibungkus dipercayai bertujuan untuk diseludup masuk ke negara ini daripada negara jiran.
Sejumlah 9 paket ayam mentah yang dibungkus didalam plastik dirampas oleh Pihak Polis dan suspek dihantar ke Pusat Pemantauan di Perkampungan Sukan bagi menjalani pengasingan diri selama 14 hari sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
