BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 27 Jan 2021 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengesahkan telah menerima laporan daripada talian kecemasan 993 pada 27 Januari 2021 sekitar jam 1.45 petang mengenai penemuan seorang bayi yang didapati terapung di kawasan permukaan Sungai Kg Kianggeh, berhadapan Pejabat Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam Kampung Kianggeh, Daerah Brunei Muara.
Saksi yang berada ditempat kejadian menjelaskan bahawa telah ternampak sesuatu benda terapung di permukaan sungai seperti susuk tubuh kecil seakan-akan patung. Walau bagaimanapun, setelah saksi mengamati benda tersebut lalu terkejut dan yakin bahawa benda terapung berkenaan merupakan seorang bayi.
Susulan kejadian tersebut, Pihak Polis dan pihak Ambulan segera dihubungi bagi meminta bantuan dan tindakan selanjutnya. Bayi yang terapung kemudian dikeluarkan dari permukaan sungai dan telah dijalankan pemeriksaan tubuh badan oleh ahli paramedik bertugas seraya mensahkan bahawa bayi tersebut sudah tidak lagi bernyawa.
Bayi yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi dijalankan pemeriksaan dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian serta untuk siasatan pihak polis selanjutnya. Di samping itu juga, hasil siasatan awal mendapati bayi berkenaan merupakan bayi perempuan yang baru lahir.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan menjalankan siasatan mengenai insiden ini dan bermohon kepada orang ramai atau mana-mana saksi yang berada di tempat kejadian agar dapat tampil bagi menyalurkan sebarang maklumat ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah di talian kecemasan 993 atau 2459500.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
